1.0 PENDAHULUAN
Psikologi pendidikan merupakan kajian
saintifik tentang tingkah laku dan pemikiran manusia yang berkaitan dengan
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dan prinsip-prinsip yang
menggalakkan peningkatan pembelajaran. Setiap guru yang menitikberatkan potensi
dan pencapaian muridnya akan sentiasa berusaha menganalisis masalah yang wujud,
membuat refleksi dan membuat tindakan yang strategik berdasarkan pelan yang
dirancang. Guru juga perlu memahami dan mengenal pasti kebolehan, pengalaman,
perhubungan, pengaruh persekitaran dalam membentuk sahsiah dan minat murid
terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ahli-ahli psikologi turut
mengaplikasikan prinsip psikologi pendidikan dalam menyelesaikan
senario-senario hipotektikal tentang masalah pembelajaran yang wujud di dalam
sesebuah kelas.
Masalah pembelajaran yang wujud di dalam
kelas perlu dikaji dan diatasi dari perspektif teori pembelajaran atau teori
perkembangan yang berbeza. Teori-teori ini digunakan sebagai satu kanta bagi
melihat tingkah laku manusia daripada beberapa sudut yang berlainan. Ia juga
memberi jalan bagi guru-guru mempelajari tingkah laku pelajar dan mengatasi
masalah yang timbul di dalam kelas. Masalah-masalah pembelajaran di dalam kelas
seperti murid bising, murid sukar memahami dan mengingati isi pelajaran, murid
takut memberi jawapan dan murid cerdas pintar sangat menguji dan mencabar
keupayaan guru dalam meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
2.0
SENARIO
PENGAJARAN PEMBELAJARAN
Pelajar berkelakuan nakal merupakan
masalah pembelajaran berbentuk disruptif yang sering berlaku dalam situasi
kelas sebenar. Kegagalan guru untuk
melaksanakan tugasnya banyak bergantung pada beberapa faktor, antaranya suasana
kelas yang hiruk-pikuk oleh
pelajar yang tidak memberi tumpuan kepada pengajaran guru. Pelajar tidak
berminat dengan aktiviti dan pendekatan guru semasa mengajar. Mereka membuat
bising, tidak duduk diam,menganggu pelajar lain yang ingin belajar.
Pelajar lembam mnguasai kemahiran dan isi
pelajaran merupakan senario masalah pengajaran dan pembelajaran yang sering
terjadi di dalam kelas. Tahap kecerdasan yang rendah ini sangat bergantung
dengan bantuan guru sepenuhnya. Ini menjadikan guru sukar menjalankan aktiviti
sepenuhnya di dalam kelas dan terpaksa menumpukan perhatian kepada sebilangan
murid sahaja.
Pelajar-pelajar yang mempunyai perasaan
ingin tahu juga menimbulkan masalah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Mereka sentiasa menyoal guru semasa guru menerangkan berusaha mencuba sesuatu
tanpa memikirkan bahaya untuk diri dan orang lain.
Pelajar-pelajar yang cerdas dan mudah
menguasai kemahiran dan isi pelajaran juga sering menjadi masalah semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pelajar ini mampu menguasai isi
pelajaran, kemahiran dan ilmu yang disampaikan dengan cepat dan tepat
berbanding pelajar lain. Mereka akan menganggu pelajar lain yang sedang
belajar, cepat merasa bosan, menganggu pengajaran guru, memandang rendah
pelajar lain dan sering mencabar kewibawaan guru.
Selain itu, pelajar yang kurang keyakinan
diri dan merasa takut untuk menyertai aktiviti pembelajaran juga merupakan
senario sebenar yang merupakan masalah pembelajaran. Pelajar-pelajar
menunjukkan perasaan bimbang semasa guru menyoal dan sering mengasingkan diri
dengan aktiviti pembelajaran.
3.0 MASALAH PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN DI DALAM KELAS MENGIKUT TEORI PEMBELAJARAN.
Masalah-masalah yang wujud di
dalam sesebuah kelas boleh dikaitkan dengan teori pembelajaran bagi mengenal
pasti dan menganalisis masalah yang berlaku.
3.1
Pelajar berkelakuan nakal dan bising
Pelajar yang nakal dan bising
adalah pelajar yang tidak menunjukkan minat dengan pengajaran guru. Mereka
berkelakuan sedemikian kerana penyampaian guru tidak menarik, sukar difahami
dan pengajaran guru yang berpusatkan guru sahaja dan bersikap autokratik.
Mereka bosan dengan pengajaran guru sehingga mereka menganggu atau menunjukkan
sikap-sikap yang agresif seperti membaling rakan dengan kertas, menolak dan
menumbuk rakan lain serta menyanyi-nyanyi semasa guru mengajar. Mereka juga
turut bergerak ke sana sini menganggu rakan lain. Punca lain pelajar ini
berkelakuan sedemikian adalah kerana keadaan dan iklim kelas yang tidak ceria
dan kurang kondusif, sosioemosi kelas yang kurang sesuai dan pengurusan kelas
yang tidak sistematik.
Menurut teori Pembelajaran
Sosial oleh Bandura, pelbagai tingkah laku sosial seperti keagresifan,
persaingan, peniruan model dan sebagainya adalah hasil pemerhatian daripada
gerak balas yang ditonjolkan oleh orang lain. Bandura
menyebut orang yang diperhatikan sebagai model dan proses pembelajaran melalui
pemerhatian tingkah laku model sebagai permodelan. Ia juga menekankan aspek
interaksi antara manusia dan persekitaran. Ini menunjukkan bahawa unsur
pembelajaran utama adalah peniruan dan permerhatian. Sikap pelajar yang
berkelakuan nakal dan bising di dalam kelas melalui teori pemerhatian ini
adalah disebabkan kerana pelajar cuba menganggu rakan-rakannya kerana suda
bosan dengan pengajaran guru. Mereka berpura-pura mengantuk, membaling rakan
dengan kertas, bercerita dengan rakan lain dan cuba menganggu rakan lain sambil
memberi isyarat ‘bagus’. Mereka juga meniru perlakuan guru dan rakan mereka
sehingga mereka tergelak dan menganggu penumpuan rakan-rakan lain.
3.2
Pelajar lembam menguasai kemahiran dan isi
pelajaran
Pelajar yang mengalami masalah
menguasai kemahiran dan isi pelajaran biasanya tidak memperolehi perkembangan
mental yang sepatutnya disebabkan persekitaran yang tidak menggalakkan. Masalah
ini juga berpunca kerana ibu bapa mereka yang jarang memberi peluang anak
mereka membuat keputusan dan tidak mendedahkan mereka dengan situasi yang
membantu perkembangan pemikiran mereka. Mereka juga lembam untuk berfikir dan
mentafsir isi pelajaran dan kemahiran yang diajar oleh guru. Ini amat merumitkan
proses pengajaran dan pembelajaran kerana guru terpaksa memberi tumpuan lebih
kepada mereka sehingga pelajar lain turut membuat bising dan kurang penerangan
daripada guru tersebut. Kelembapan ini menyumbang kepada masalah pembelajaran
dan menghadkan murid lembam tersebut memperoleh ilmu pengetahuan dan pencapaian
yang kurang memberangsangkan.
Merujuk kepada teori
Pembelajaran Gagne, pembelajaran adalah bergerak
daripada yang paling mudah kepada yang kompleks dan pembelajaran aras yang
tinggi bergantung kepada pembelajaran aras yang rendah. Terdapat lapan
peringkat pembelajaran berhierarki Gagne yang dikenal pasti iaitu; pembelajaran
berisyarat, pembelajaran rangsangan gerak balas, rangkaian yang merupakan siri
melengkapi tugasan, pertalian berbahasa, pembelajaran berdiskriminasi,
pembelajaran berkonsep, pembelajaran hukum dan penyelesaian masalah. Teori ini
menekankan sistem pembelajaran itu harus bermula daripada mudah dan asas kepada
yang rumit dan kemahiran yang lebih tinggi. Supaya pengajaran lebih bermakna
dan mencapai objektif pelajaran, guru diberi alternatif untuk merancang
pengajaran yang meliputi langkah-langkah yang dicadangkan oleh Gagne. Dalam kes
pelajar lembam (slow learner) ini, pemahaman konsep dan alat bantu
mengajar membantu kepada senario ini berlaku di dalam kelas. Setiap kali
pelajar lembam belajar, mereka gagal menyusun pengalaman yang dipelajari dan
menyimpannya dalam minda dan ingatan mereka. Kaedah dan stail pengajaran guru
yang tidak mementingkan perbezaan individu di dalam kelas menyebabkan masalah
ini terus berlaku.
3.3 Pelajar ingin tahu
Tingkah laku ingin tahu ini menjadi masalah yang
menganggu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pelajar yang
bermasalah positif ini sering bertanya semasa guru menerangkan dan tidak sabar
untuk mengetahui kemahiran dan peyampaian isi pelajaran yang disampaikan oleh
guru. Mereka juga berani mencuba sesuatu tanpa penerangan dan pengawasan guru
sehingga boleh membahayakan diri sendiri dan rakan lain. Sungguhpun perasaan
ingin tahu ini adalah tingkah laku positif tetapi ia juga menyumbang kepada
masalah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ini berpunca daripada
rangsangan dan maklumat yang diberikan oleh guru tidak tersusun dengan baik dan
guru kurang menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis kaedah
pengajaran mereka.
Ini dapat dikaitkan dengan teori Pembelajaran Ausubel
yang melihat pembelajaran dari sudut resepi dan bermakna. Ausubel menyatakan
kebanyakan manusia memperoleh ilmu pengetahuan daripada pembelajaran resepi .
Pembelajaran secara resepsi bermaksud maklumat yang disusun secara teratur
diberikan kepada pelajar. Maklumat yang diperolehi akan disimpan di dalam
struktur kognitif. Pembelajaran resepsi adalah pembelajaran penemuan, iaitu
pembelajaran untuk mendapatkan maklumat dengan sendiri melalui pemikiran
analisis, kritis, kreatif, cuba jaya dan celik akal. Manakala pembelajaran
bermakna adalah satu proses belajar yang mempunyai kesedaran sendiri dan
mempunyai tujuan atau objektif tertentu. Teori Pembelajaran Ausubel juga dikenali sebagai teori
pembelajaran penerimaan , kerana beliau menekankan proses penguasaan maklumat
melalui bahasa yang bermakna. Dalam pembelajaran resepsi, guru memberi output
konsep dengan jelas dan tersusun supaya murid dapat menerima ilmu dengan
lengkap dan baik tanpa menganggu proses pengajaran yang berlangsung. Model
Pembelajaran Ekspositori turut dikemukakan oleh David Ausubel yang menekankan
penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta
secara tersusun dan dijelaskan mengikut urutan. Walaupun maklumat diberikan
oleh guru tetapi murid boleh berkongsi idea-idea dan respon bersama guru.
Ausubel menyatakan apabila pelajar menpunyai tahap rasa ingin tahu yang tinggi
dan ingin menguasai maklumat dengan banyak, pengalaman sedia ada dapat membantu
mengembangkan struktur kognitif pelajar menggunakan kaedah pembelajaran ini.
3.4 Pelajar cerdas dan cepat belajar
Pelajar cerdas dan cepat belajar mampu menguasai
kemahiran dan isi pelajaran dengan mudah. Mereka akan cepat merasa bosan dan
akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Mereka juga akan
mengejek-ejek dan memandang rendah rakan lain kerana lambat dan kurang memahami
isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Pelajar ini juga turut mencabar kewibawaan
guru kerana menganggap kerja sekolah dan isi pelajaran yang disampaikan oleh
guru adalah terlalu mudah, membosankan dan mereka sudah mempunyai pengetahuan
sedia ada. Pelajar ini mempunyai ibu bapa dan keluarga yang latar belakang
mereka adalah dari golongan berstatus dan berpendidikan tinggi.
Keadaan ini boleh dikaitkan dengan teori Pembelajaran
Konstruktivisme yang diterajui oleh Giambatista Vico. Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan cara
pengetahuan disusun dalam minda manusia. Pendekatan ini memberi
peluang kepada pelajar membina kefahaman dan menghubungkaitkan perkara yang
dipelajari antara idea dan fakta tersebut. Pembelajaran juga bukan merupakan tempat simpanan
maklumat tetapi ia adalah merupakan pengetahuan peribadi yang berguna. John Dewey menyatakan bahawa teori konstruktivisme ini
dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan.
Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Melalui teori pembelajaran ini, murid terlibat
secara aktif dan guru hanya sebagai fasilitator atau pemudah cara. Masalah yang
timbul daripada pelajar cerdas dan cepat belajar adalah berpunca daripada
pengajaran dan penyampaian guru yang tidak sesuai dengan tahap kecerdasan
murid. Pelajar menjadi bosan dan menanggap guru tidak berilmu dan mencabar guru
menberikan input yang lebih banyak. Selain itu, pendedahan ilmu
pengetahuan dan teknologi maklumat oleh ibu bapa mereka adalah lebih terbuka
berbanding pelajar lain. Pelajar ini juga sering melanggar peraturan yang ditetapkan
kerana sifat yakin diri dan suka bertindak mengambil inisiatif sendiri.
3.5 Pelajar kurang yakin diri dan mengasingkan
diri
Adapun wujudnya pelajar yang kurang keyakinan diri dan
mengasingkan diri ini adalah kerana mereka mempunyai konsep kendiri yang
negatif, kurang cerdas, emosi dan interaksi sosialnya kurang baik. Untuk
mengelak daripada malu dan kurang selesa mereka cuba membentuk mekanisme helah
bela diri dan sentiasa berusaha menyembunyikan diri daripada perhatian guru dan
rakan-rakan sekelas.
Merujuk kepada teori Perkembangan Psikososial Erikson, Erikson
menyatakan bahawa manusia mempunyai keperluan asas yang sama dan perkembangan
mereka bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan tersebut. Perkembangan
kanak-kanak berlaku mengikut tahap tertentu. Beliau percaya bahawa setiap tahap
mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan
perkembangan kanak-kanak.
Teori ini mengabungkan tiga faktor yang
mempengaruhi perkembangan individu, iaitu faktor kendiri, emosi dan sosial.
Terdapat lapan peringkat perkembangan emosi manusia yang diperkenalkan oleh
Erikson. Setiap peringkat timbul tingkah laku positif dan negatif yang membawa
masalah penyelesaian psikologikal kerana konflik emosi yang berlaku. Jadual 3.1
menunjukkan tahap perkembangan Erikson dan dijelaskan seperti berikut.
Tahap
|
Peringkat Umur
|
Konflik
|
Pertama
|
0
– 18 bulan
|
Pembentukan
perasaan percaya lawan tidak percaya.
|
Kedua
|
18
bulan – 3 tahun
|
Tahap
autonomi lawan rasa malu atau sangsi.
|
Ketiga
|
3
tahun – 6 tahun
|
Tahap
inisiatif lawan rasa bersalah.
|
Keempat
|
6
tahun – 12 tahun
|
Tahap
industri lawan rasa rendah diri.
|
Kelima
|
12
tahun – 20 tahun
|
Tahap
identiti lawan kekeliruan peranan.
|
Keenam
|
20
tahun – 40 tahun
|
Tahap
intimasi lawan pengasingan diri.
|
Ketujuh
|
40
tahun – 60 tahun
|
Tahap
generativiti lawan stagnasi.
|
Berdasarkan
tahap perkembangan psikososial Erikson di atas, pelajar yang kurang
berkeyakinan diri dan berasa takut menyertai aktiviti pembelajaran serta
menghadapi masalah penyesuaian emosi dan sosial dalam sesuatu situasi, mereka
berusaha mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Mereka
akan gagal apabila ibu bapa tidak mencorak dengan baik dan membiarkan mereka
membuat keputusan di perkembangan tahap awal. Perkembangan di tahap awal tidak
boleh disalah asuh kerana akan menyebabkan kanak-kanak hilang inisiatif, suka
menyendiri dan akan menimbulkan masalah apabila memasuki alam persekolahan.Ada
di antara pelajar ini yang takut diketawakan dan dijadikan bahan peniruan
gelagat mereka cuba bersembunyi sehingga menjadi terlalu sensitif terhadap
teguran dan kritikan rakan-rakan mereka dan mudah mengambil hati serta bersikap
kecil hati.
4.0 IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN
MENGATASI MASALAH PEMBELAJARAN
Bagi meningkatkan kualiti dan kelicinan proses
pengajaran dan pembelajaran guru, pelan mengatasi masalah-masalah yang wujud di
kelas perlu dirancang dan diaplikasikan agar dapat memberi implikasi yang cukup
bermakna dan membantu guru mengurus kelas dengan berjaya.
4.1 Implikasi Teori Pembelajaran Sosial Bandura.
Unsur-unsur
pembelajaran utama yang dalam teori pembelajaran ialah pemerhatian dan
peniruan. Bandura menjelaskan bahawa proses pembelajaran akan dapat dilaksanakan
dengan lebih berkesan dengan menggunakan pendekatan ‘permodelan’. Tingkah laku
model boleh dipelajari melalui bahasa, misalan dan teladan. Aspek pemerhatian
pelajar terhadap penyampaian atau gerak
geri guru dan aspek peniruan oleh pelajar akan dapat memberikan kesan yang
optimum kepada kefahaman pelajar.
Implikasinya, guru perlu cekap dan menjadi personaliti
yang menarik agar menjadi contoh atau role model yang gemar dicontohi
oleh pelajar. Penerangan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran guru di dalam
kelas hendaklah jelas dan menarik agar murid tidak berkelakuan nakal dan bising
di dalam kelas seterusnya mengikuti proses pengajaran dengan mudah dan mencapai
objektif implisit. Pendekatan yang berpusatkan guru dan murid perlu digunakan
bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan itu, murid dapat
memberikan tumpuan, menunjukkan minat belajar dan menjadikan guru sebagai role
model yang patut dicontohi dan dihormati.
4.2 Implikasi Teori Pembelajaran Gagne
Dalam
menangani masalah pelajar lembam dan kurang menguasai kemahiran dan isi
pelajaran, rangsangan dan tindak balas sangat positif adalah sangat penting. Berdasarkan kepada teori pembelajaran Gagne sebelum guru menyelesaikan
masalah yang dihadapi pelajar di dalam kelas, pelajar seharusnya telah
memperoleh pembelajaran isyarat, rangsangan gerak balas, rangkaian pertalian
berbahasa, diskriminasi, konsep dan pembelajaran hukum. Implikasinya, guru
perlu menggunakan bahan konkrit untuk mengajar subjek bahasa dan mengajar suatu
kemahiran mengikut urutan agar pelajar dapat menguasai kemahiran dan ilmu
pengetahuan dengan mudah dan tersusun. Isi dan aktiviti-aktiviti yang
disediakan perlu selaras dengan perkembangan kognitif murid-murid lembam. Jika
tidak, bahan dan aktiviti tidak membantu peningkatan pemahaman pelajar ini
memahami isi pelajaran dan membosankan mereka.
Aktiviti
yang dirancang perlu dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid dan kehidupan
seharian seperti ‘makanan kita’, ‘kesihatan kita’ ‘peralatan sekolah saya’ dan
sebagainya. Penggunaan alat bantu mengajar seperti kad gambar, filem, carta dan
model membantu pelajar lembam menyimpan maklumat dengan jelas. Pujian dan latih
tubi perlu diteruskan dari semasa ke semasa agar pelajar lembam boleh
meneruskan aktiviti pembelajaran seperti murid normal. Guru
perlu membimbing murid-murid membuat diskriminasi atau membezakan fakta yang
penting daripada yang kurang penting. Kebolehan mendiskriminasi juga boleh
digunakan untuk membezakan ciri-ciri sesuatu kumpulan tumbuhan dengan ciri-ciri
kumpulan tumbuhan yang lain. Guru juga boleh membantu murid-murid mengenal
pasti cir-ciri utama suatu kelas objek agar pembentukan konsep mudah dicapai
serta membina soalan-soalan yang boleh memandu murid-murid ke arah pembentukan
konsep dengan jelas.
4.3 Implikasi Teori Pembelajaran Ausubel.
Pemerolehan
maklumat secara bebas melalui usaha sendiri dan membuat rumusan dan analisis
sendiri melalui cuba jaya dan celik akal sangat bersesuaian dalam menangani pelajar
yang mempunyai tahap perasaan ingin tahu yang tinggi. Pembelajaran
penemuan yang terdapat dalam teori
Pembelajaran Ausubel adalah cara pembelajaran yang lebih menarik dan dapat
memenuhi kehendak dan keperluan pelajar yang lebih ingin menguasai isi pelajaran
secara menyeluruh. Cara ini amat berkesan dalam mengembangkan struktur kognitif
individu untuk menghadapi rangsangan yang pelbagai.
Bagi
mengatasi masalah pelajar yang perasaan ingin tahu mereka ini tinggi, guru
perlu menjelaskan fakta dengan lebih tersusun. Pembelajaran tersebut perlu
berkembang secara deduktif dengan memberikan prinsip utama sebelum memberikan
contoh yang sesuai. Guru juga perlu mengaitkan konsep yang telah dipelajari
dengan konsep baru. Contohnya, mempelajari konsep barang berat akan tenggelam
dan pelajar memberikan contohnya sesuai. Selain itu pembelajaran itu juga
berkembang secara induktif iaitu dari umum kepada khusus dengan cara guru
memulakan idea baru dengan contoh yang banyak dan khusus supaya pelajar dapat
gambaran umum terlebih dahulu. Kemudian guru menjelaskan prinsip yang terlibat.
Contohnya, guru memberikan contoh-contoh berkaitan dengan prinsip yang ingin
diajar.
4.4 Implikasi Teori Konstruktivisme
Dalam menangani masalah tingkah laku
positif ini di dalam kelas, guru perlu menggalakkan pelajar berkreativiti dan
pembelajaran akses kendiri. Pelajar perlu dilibatkan secara aktif dalam
aktiviti pembelajaran. Berpandukan kepada Teori Konstruktivisme, guru yang cekap perlu melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan
dan menggalakkan penyertaan murid secara optima dalam pembinaan pengetahuan
mereka. Guru perlu berperanan sebagai pengawal
disiplin kelas dan pemudah cara dalam setiap aktiviti pembelajaran. Dengan itu,
masalah tingkah laku pelajar cerdas dapat dikawal. Mereka tidak ada pilihan
kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Mereka yang ingkar
akan didenda.
Dalam konteks ini, guru tidak berperanan sebagai
penceramah di dalam kelas. Mereka perlu membimbing pelajar mengembangkan
pengetahuan dan konsep yang mereka pelajari. Guru akan menyediakan pelbagai
jenis bahan pembelajaran dan menggalakkan uji kaji, percubaan serta
penyelesaian masalah agar pembinaan pengetahuan oleh pelajarnya dapat berlaku.
Guru perlu menggalakkan interaksi pelajar untuk bertukar-tukar idea dan
pengetahuan tetapi ditahap yang terkawal dan tahap bising yang dibenarkan.
Bahan-bahan pembelajaran perlulah mencukupi dan mencabar agar murid tidak
memandang rendah keupayaan guru sebagai penyebar ilmu pengetahuan.
4.5 Implikasi dan
Modifikasi Teori Perkembangan Psikososial Erikson
Melalui
Teori Perkembangan Psikososial Erikson, modifikasi tingkah laku pelajar kurang
yakin diri dan mengasingkan diri adalah melalui pengurusan suasana kelas yang
kondusif dengan menjalankan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar
mereka merasa seronok, gembira dan harmonis serta selamat untuk melibatkan diri
dalam aktiviti tersebut. Guru perlu menjadi role-model bagi memupuk sikap diri,
kepercayaan dan kebiasaan kepada pelajar
supaya berani berkongsi perasaan, idea dan fikiran mereka. Sifat kasih sayang
yang guru tunjukkan mampu memotivasikan pelajar supaya memahami diri, menerima
diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya
menentukan aktualisasi kendiri, iaitu arah hidup dan masa depan sendiri
mengikut perkembangan potensinya yang tertinggi.
Guru
perlu merancang aktiviti pengajaran mengikut kebolehan pelajar agar dapat
meningkatkan keyakinan mereka dan meningkatkan peluang memenuhi keperluan
penyuburan mereka iaitu kesempurnaan kendiri, memperoleh ilmu pengetahuan,
menikmati dan menghasilkan karya atau ciptaan estetik yang bermutu tinggi.
5.0 PENUTUP
Masalah pembelajaran yang berlaku di dalam
kelas boleh berupa positif dan negatif.
Masalah pembelajaran yang menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas menurut Mok Soon Sang (2002) adalah tingkah laku
bermasalah pelajar yang berbentuk positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah
positif adalah seperti ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan
proaktif manakala tingkah laku
bermasalah negatif ialah seperti distruktif, distruptif, bergantung,
hiperaktif, bimbang, murung, pengunduran diri dan pengasingan diri dalam
aktiviti di bilik darjah. Oleh yang
demikian, pendekatan dan alternatif yang bersesuaian berlandaskan teori
pembelajaran mampu mengatasi masalah-masalah pembelajaran yang wujud dalam
situasi sebenar di dalam sesebuah kelas.
No comments:
Post a Comment