Friday, May 10, 2013

MASYARAKAT DAN TAMADUN


1.0  PENGENALAN

Setiap antropologis mempunyai definisi yang tersendiri tentang konsep budaya dan tamadun. Tamadun mempunyai makna yang lebih luas dan budaya boleh difahamkan sebagai satu cara hidup yang dikongsi bersama oleh sesuatu masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan masyarakat yang lain dari segi nilai-nilai, kepercayaan, cara hidup dan pantang larang. Tamadun pula dikaitkan dengan pencapaian dan pembangunan sesuatu masyarakat tentang budaya dan pembudayaan yang berlaku di sekeliling mereka. Ia tidak hanya merujuk kepada pembangunan material semata-mata tetapi pencapaian merangkumi hal-hal  kebudayaan sesuatu masyarakat dalam aspek tatasusila, kesenian, agama dan bahasa yang dituturkan.

Budaya merupakan perkongsian cara hidup suatu masyarakat dan tidak dapat dipisahkan dengan penggunaan bahasa bagi memudahkan komunikasi dan penyampaian maklumat dengan tepat. Budaya boleh diperoleh melalui proses pembelajaran. Melalui perkongsian dan penyesuaian diri terhadap alam sekeliling tersebut, manusia akan lebih kreatif dan maju. Ia juga turut dipengaruhi oleh pencapaian pemikiran dan kekuatan rohani mereka. Pembentukan tamadun suatu masyarakat pula banyak dipengaruhi oleh budaya masyarakat tersebut. Misalnya kewujudan penempatan kekal merupakan di antara ciri utama kewujudan tamadun kerana penempatan kekal membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik. Kepelbagaian budaya yang wujud dalam suatu masyarakat menjadi identiti dan kebanggaan masyarakat tersebut. Nilai-nilai kebudayaan yang baik yang diekspretasikan oleh masyarat suatu tamadun menjadikan mereka contoh dan unik di kalangan kelompok masyarakat yang lain.

2.0  KONSEP BUDAYA  

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budaya didefinisikan sebagai tamadun dan peradaban ataupun kemajuan fikiran, akal budi iaitu cara berfikir dan berkelakuan. Dalam bahasa Melayu, budaya berasal daripada perkataan ‘budi’, iaitu daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud akal yang membawa makna perlakuan-perlakuan manusia yang berkaitan dengan akal fikiran. Budaya sering dikaitkan dan disebut dalam perkataan kebudayaan. Ini menunjukkan hasil daripada budaya yang diamalkan dan ditunjukkan oleh suatu kelompok masyarakat. Dalam usaha memahami manusia, masyarakat dan tamadun, ahli-ahli antropologi dan sosiologi mendefinisikan budaya mengikut hasil kajian dan teori mereka masing-masing.  

Menurut Edward Burnett Taylor, (Mohamed Yusoff Ismail.drr.,2011) budaya merujuk kepada suatu keseluruhan yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, tatatusila, serta sebarang kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat. Pendedahan dan peniruan tradisi budaya tersebut menjadikan manusia membesar dengan tatasusila dan kepercayaan tersebut.

Menurut T.O. Ihromi (2006), budaya atau kebudayaan mengikut fahaman orang ramai ialah  kualiti yang relevan yang diperoleh dari seni tari dan hal-hal kesenian. Namun begitu, Ihromi pula berpendapat bahawa budaya itu merangkumi semua aspek kehidupan seperi kepercayaan, cara hidup, cara berinteraksi, kegiatan masyarakat yang khusus mereka lakukan dan cara-cara mengendalikan sesuatu perkara.  Ihromi juga mengemukakan definisi budaya daripada ahli antropologi lain seperti Ralph Linton. Menurut Ralph Linton, budaya ialah seluruh cara hidup suatu masyarakat. Setiap individu adalah makhluk berbudaya kerana ia mengambil bahagian dalam kebudayaan suatu kelompok atau masyarakat.

Oleh yang demikian, budaya dapatlah diungkaikan sebagai satu cara hidup, tatasusila, adat resam, agama, kepercayaan dan sebagainya. Budaya bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya yang  mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.
Mohamed Yusoff Ismail, drr (2011) menyatakan bahawa Gary Ferraro telah menyenaraikan lapan ciri-ciri budaya yang perlu diketahui iaitu budaya dikongsi, budaya dipelajari, budaya “tidak kelihatan”, budaya mempengaruhi proses-proses biologi, budaya saling berubah, kesejagatan budaya, budaya adaptif dan maladaptif dan budaya bersifat integritif.
Budaya dikongsi adalah salah satu ciri kebudayaan dalam satu kumpulan masyarakat.  Ini bermaksud bahawa ahli-ahli masyarakat yang berkongsi sesuatu budaya maklum tentang maksud sesuatu objek, idea atau kelakuan dalam konteks budaya tersebut.  Contohnya, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan etnik berkongsi budaya seperti semangat kekitaan dan kunjung-mengunjungi walaupun berbeza agama dan kepercayaan.
Budaya dipelajari merupakan ciri budaya yang kedua..  Budaya tidak diwarisi secara genetik. Budaya dipelajari melalui interaksi kita dengan persekitaran sosial melalui proses enkulturasi. Pepatah ‘orang tua lebih dahulu merasa garam’ adalah menunjukkan budaya itu dipelajari dan diamalkan oleh orang yang lebih tua dan berpengalaman berbanding orang muda. Pelbagai bentuk tingkahlaku,  adat resam dan bahasa yang digunakan sehari-harian  adalah hasil daripada proses pembelajaran. Contohnya, kanak-kanak yang dilahirkan akan membesar dan belajar serta mengamalkan adat resam dan kebudayaan masyarakatnya.  Sekiranya,  bayi yang sama dibesarkan dalam masyarakat lain pula,  proses mempelajari kebudayaan dinamakan sosialisasi.
Budaya “tidak kelihatan” adalah ciri budaya yang ketiga. Budaya ini adalah budaya yang sudah sebati dan tertanam dalam jiwa kita sebagai insan bersosial. Ia berlaku tanpa kita sedari dan menjadi tabiat semulajadi dalam diri kita. Contohnya, perlakuan rutin yang kita lakukan seharian dan dilakukan secara tanpa kita sedari seperti mengosok gigi pada waktu pagi atau mandi sebelum ke sekolah.
Ciri budaya yang keempat ialah budaya yang mpengaruhi proses-proses biologi. iaitu makan, minum, tidur, berlindung, berkumuh dan sebagainya tetapi bergantung kepada adat resam budaya kita tersendiri. Kita merujuk kepada budaya kita untuk melaksanakan proses-proses biologi menurut norma-norma yang diterima pakai oleh masyarakat kita.  Contohnya,  masyarakat Melayu sangat mementingkan makanan mereka halal atau tidak. Ataupun penggunaan tisu atau air selepas berkumuh.
Ciri budaya yang kelima ialah budaya saling berubah.  Budaya sering melalui proses perubahan dari masa ke semasa dan melalui dua cara iaitu inovasi dan difusi budaya.  Inovasi merujuk kepada idea-idea baru yang boleh digunakan untuk memajukan sesebuah masyarakat.  Inovasi yang diterima pakai oleh masyarakat secara meluas akan mencetus perubahan budaya.  Difusi budaya pula berlaku apabila elemen-elemen dalam sesuatu budaya itu merebak kepada budaya-budaya yang lain.  Contohnya, budaya punk dan black metal yang berasal daripada budaya rakyat Amerika Syarikat telah banyak mempengaruhi tingkah laku remaja secara global pada masa kini..
Kesejagatan budaya adalah merupakan ciri budaya yang keenam.  Banyak perkara-perkara asas yang dikongsi bersama tidak kira di mana kita berada.  Sebagai contoh, negara kita Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan agama mengikut sistem kepercayaan yang menggariskan nilai-nilai moral dan cara hidup yang tersendiri.  Agama dan kepercayaan mungkin berbeza tetapi panduan tentang moraliti dan perlakuan baik sama dan diguna pakai bersama. Peraturan inilah yang juga digunakan sebagai garis panduan bagi seseorang itu bertindak dalam pergaulannya sebagai insan sosial dalam sebuah kelompok masyarakat.
Ciri budaya seterusnya ialah budaya adaptif dan maladatif. Adaptif adalah ciri budaya yang memastikan kelangsungan masyarakat manusia.  Masyarakat primitif pada masa dahulu,  perlu mendapatkan sumber-sumber dari alam semula jadi untuk terus hidup.  Budaya memungkinkan manusia mengawal dan menggunakan alam persekitarannya untuk kepentingan diri sendiri.  Sebagai contoh,  manusia telah mencipta peralatan untuk memburu binatang dan sebagainya.  Sifat adaptif inilah yang memastikan manusia terus kekal dan dominan di muka bumi. Budaya maladaptive pula ialah budaya yang tidak menyumbang kepada kelangsungan masyarakat. Dalam jangka masa panjang, aspek negatif boleh membawa kepada kehancuran masyarakat manusia. Contohnya, tabiat merokok merupakan satu budaya yang diterima secara global. Namun demikian, merokok merupakan budaya maladaptif kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan turut mencemarkan udara.
Ciri budaya yang terakhir yang disenaraikan oleh Ferraro ialah budaya yang bersifat integratif.  Pelbagai aspek yang saling berkait rapat antara satu sama lain adalah merupakan budaya yang sebenar. Budaya terdiri daripada aspek-aspek seperti ekonomi, pendidikan,  keluarga, agama, kerajaan, kepimpinan  teknologi,  keluarga,  sistem perubatan,  seni hiburan  dan keupacaraan. Aspek ini saling mempengaruhi antara satu sama lain. Sebagai contoh,  negara yang mengalami kemelesetan ekonomi akan turut menjejaskan aspek-aspek budaya yang lain.  Institusi keluarga mungkin akan goyah akibat tertekan dengan kebimbangan kehilangan sumber pendapatan.

3.0  KONSEP TAMADUN

Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab iaitu daripada perkataan mudun dan madain yang membawa maksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan bahasa Inggeris yang sama makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang membawa maksud Bandar. Selain itu, tamadun juga boleh diertikan sebagai peradaban. 

Setiap sarjana ilmuan mempunyai konsep tamadun yang tersendiri. Menurut Nurakma Suhaila, (2011) masyarakat barat mengaitkan tamadun dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan perbandaran. Gordon Childe seorang sarjana barat menyatakan bahawa pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat. Manakala Darcy Riberio dan R.A Buchanan pula menolak unsur-unsur kerohanian dalam tamadun dan menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah semata-mata dalam proses perkembangan tamadun. Namun begitu, sarjana Islam menyatakan tamadun adalah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua aspek ini penting untuk menjadi kayu ukur ketamadunan sesebuah bangsa dan masyarakat. Syed Naqiud al-Attas mendefinisikan tamaduan sebagai pencapaian tatasusila yang tinggi dan luhur. Pandangan ini turut disokong oleh seorang sarjana barat iaitu Richard Sullivan. Beliau mengakui bahawa unsur kerohanian sangat penting dalam pembanguan tamadun sesuatu masyarakat .Oleh yang demikian, konsep tamadun tidak hanya dilihat dari sudut pembanguan material sahaja tetapi tamadun turut berkembang melalui pencapaian dari aspek kerohanian, tatasusila dan moral.

Menurut Syirazi, (Shukri Ahmad,2002) istilah tamadun adalah suatu istilah yang membincangkan tentang sesuatu kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintahan. Istilah ini merujuk kepada perbahasan tentang sejarah keilmuan, peradaban, kemajuan perindustrian dan pembanguan ekonomi sesuatu negara. Namun begitu, terdapat juga istilah lain yang sinonim makna dengan tamadun iaitu hadharah, madaniya dan thaqafah.

Menurut Shukri Ahmad (2002), Said Hawwa seorang sarjana Islam menyatakan istilah hadharah adalah merujuk kepada peradaban ataupun kemajuan manusia yang menggabungkan kemajuan material dan kemajuan sosiobudaya. Kemajuan ini meliputi aspek pembangunan yang dicapai oleh sesuatu bangsa dalam kehidupan mereka. Istilah madaniyah pula merujuk kepada aspek pembanguan fizikal manakala istilah thaqafah pula merujuk kepada pencapaian sesuatu kelompok manusia dalam aspek sosiobudaya. Gabungan di antara madaniyah dan thaqafah membentuk pengertian tamadun atau hadharah yang lebih tepat.

Ciri-ciri pembentukan tamadun di antaranya ialah penyesuaian hidup masyarakat dengan alam sekeliling agar hidup lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia ini bergantung kepada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohani mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kemajuan material. Bangsa yang berteknologi tinggi boleh menguasai bangsa yang mundur melalui pencapaian teknologi mereka seperti alatan peperangan. Bangunan yang dibina turut melambangkan keunggulan suatu tamadun bangsa. Misalnya tamadun Greek, tamadun Mesir dan tamadun China memeiliki keunggulan bangunan tertentu yang menjadi kemegahan dan kebanggan tamadun mereka.

            Kewujudan tempat tinggal yang kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun sesuatu masyarakat. Kewujudan masyarakat yang tinggal menetap ini menjadikan hidup mereka lebih sistematik dan lebih baik daripada masyarakat yang hidup secara nomad. Masyarakat nomad tidak mempunyai masa untuk membangunkan tamadun kebendaan mereka kerana mereka lebih tertumpu dan suka hidup secara ‘sara diri’ dan tidak mempunyai masa untuk membina sistem infrastruktur di kawasan mereka.

            Jumlah penduduk yang bertambah menjadikan sebuah organisasi masyarakat bertamadun itu lengkap dan mampu mengatur cara hidup mereka untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran hidup mereka dasi aspek sosial, ekonomi dan politik. Setiap lapisan masyarakat mempunyai fungsi tersendiri dan bergerak mengikut keperluan organisasi tersebut. Dengan pertambahan jumlah penduduk sebuah tamadun, pembentukan organisasi sosial dan politik menjadi rancak dan produktiviti manusia menjadi penting. Peluang pekerjaan bertambah dan menjamin kemakmuran masyarakat serta dapat mengelak daripada gejala sosial.

            Sistem pemerintahan yang sistematik dan tersusun mampu mengendalikan masyarakat bertamadun. Semakin tersusun dan teratur sistem pemerintahan sebuah tamadun semakin baik pembangunan negaranya. Dengan adanya sistem pemerintahan maka wujudnya sistem perundangan bagi mengawal keamanan dan menjadi panduan keoada masyarakat. Sistem pengurusan yang baik dan produktif membantu membangunkan tamadun dengan cepat. Ini mampu menjadikan tamadun tersebut stabil dari sudut politik.

            Dari sudut sosiobudaya, agama, bahasa dan adat resam memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun.  Tamadun tidak lengkap jika hanya dinilai dari sudut pembangunan material sahaja. Pembangunan sosiobudaya sangat penting dalam membangunkan tamadun yang hebat. Ini kerana agama, bahasa dan adat resam sangat berkait rapat dengan pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, perkembangan sosial masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan tatasusila dalam proses pembentukan awal tamadun. Umumnya, agama memberi garis panduan baik dan buruk serta panduan pembentukan akhlak masyarakat tersebut. Agama yang betul menjadikan masyarakat lebih maju dan bertamadun tinggi dan sebaliknya ajaran yang lemah menyebabkan masyarakat itu mundur. Agama yang mundur ialah agama yang mempercayai tahyul dan menolak kemajuan. Oleh itu, agama berperanan menjadi panduan pembentukan tamadun yang maju dan berwawasan. Pembanguan sosiobudaya juga dikaitan dengan bahasa. Bahasa sangat penting sebagai alat komunikasi dan penyebaran ilmu pengetahuan. Contohnya, tamadun Romawi yang tinggi dahulu adalah disebabkan oleh masyarakatnya yang berbahasa Latin. Bahasa Latin adalah satu bahasa yang digunakan secara meluas di seluruh dunia pada masa itu. Penyebaran ilmu menggunakan bahasa menjadikan masyarakat tersebut membentuk tamadun yang hebat dan lebih tinggi. Bahasa melambangkan kemajuan bangsa. Selain itu, adat resam juga berperanan penting dalam pembangunan tamadun. Misalnya nilai-nilai yang baik seperti kasih sayang, bantu membantu, memuliakan tetamu, rajin dan bergotong-royong menjadikan sebuah tamadun dipandang tinggi dan dicontohi oleh masyarakat lain.

4.0  fungsi budaya

Budaya mempunyai fungsi yang sangat besar dalam masyarakat. Budaya yang dihasilkan oleh manusia itu sendiri adalah satu keperluan hidup. Di antara fungsi budaya ialah budaya dapat memenuhi dan menyediakan keperluan manusia dengan lebih mudah.
Semua manusia memerlukan keperluan asasi untuk terus hidup. Oleh yang demikian, manusia menggunakan air untuk kegunaan pertanian, kayu-kayan untuk pembinaan rumah dan sebagainya. Keutamaan pengeluaran produk bergantung kepada keutamaan keperluan dan aktiviti oleh masyarakat. Sebagai contoh, jika masyarakat itu mewarisi ilmu pertanian, maka mereka akan membina kincir angin dan alat-alat pertanian.

Budaya juga akan menjadi panduan kepada kelompok masyarakat dalam mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan. Kepercayaan adalah unsur sejagat budaya yang sebati dengan kehidupan manusia. Manusia memperolehi keperluannya hasil daripada tuntutan beragama. Budaya mempunyai peranan memberikan panduan kepada anggota masyarakat dalam berakhlak dengan memberikan panduan, meliputi perlakuan yang dibolehkan dan tidak dibolehkan.,perlakuan yang patut dan tidak patut serta perlakuan yang digalakkan dan tidak digalakkan. Masyarakat yang bertamadun dalam agama dapat menonjokan nilai-nilai yang baik dalam kehidupan seharian mereka.

Budaya juga menjadi alat mengatur hubungan sesama manusia. Dalam masyarakat Malaysia, budaya mendidik kita agar menghormati jiran, tetamu dan sahabat. Dalam masa yang sama kita dilarang menyakitkan hati rakan sesuai dengan ajaran Islam. Ini bermakna dalam menjalani kehidupan seharian, kebudayaan memainkan peranan mengatur hubungan sesama manusia.

Budaya turut berfungsi sebagai pendorong kepada manusia untuk mencipta
peralatan teknologi dan keperluan seharian mengikut keperluan masyarakat yang tersebut. Orang Eskimo misalnya memerlukan baju tebal. Maka, dengan adanya budaya ini, ia sebagai pendorong kepada penciptaan alatan bagi memenuhi keperluan harian dan memudahkan segala urusan. Orang Belanda memerlukan alat canggih untuk menghasilkan pertanian yang mereka usahakan maka, mereka mencipta alat-alat berteknologi untuk memudahkan aktiviti pertanian mereka.

Selain itu juga, budaya berfungsi sebagai alat penyatuan dan pengenalan identiti
suatu kelompok masyarakat.  Suatu bangsa dikenali bukan sahaja dari segi fizikalnya tetapi  lebih kepada budaya yang mereka amalkan. Kita mengenali Jepun bukan sahaja dari segi fizikalnya, iaitu bangsa yang berjaya dalam ekonomi dan perindustrian.tetapi mereka juga mengamalkan semangat kekitaan dan saling bekerjasama bagi mencapai sesuatu. Masyarakat Malaysia juga dikenali sebagai masyarakat yang berbudi bahasa di samping memiliki keunikan etnik dan adat resam masing-masing.

5.0  kepelbagaian budaya

Budaya suatu masyarakat dan bangsa adalah pelbagai dan diklasifikasikan mengikut cabangnya. Ia dibahagikan mengikut sudut masa dan ruang ia berkembang dan dihasilkan. Misalnya budaya barat dan timur; budaya primitif dan moden; budaya tradisi dan moden yang merangkumi dalam aspek masa, persekitaran, kawasan dan semulajadi. Kepelbagaian budaya membuatkan kita lebih menghargai siapa diri kita. Perbezaan ini menjadikan kita berfikir dengan lebih kritis dan membuat penilaian yang baik di antara budaya kita dengan budaya orang lain.  Melville J. Herskovits  menyatakan kebudayaan memiliki empat unsur utama, iaitu alat-alat teknologi, sistem ekonomi,  keluarga dan kekuasaan politik. Manakala Ting Chew Peh (1985) meninjau kepelbagaian budaya dari sudut struktur masyarakat atau kelas sosial, jantina, adat resam, kepercayaan dan bangsa serta bahasa.

Struktur masyarakat merupakan sekelompok besar manusia yang hidup saling berhubungan dan bergantungan berasaskan satu budaya dan bidang tertentu serta mempunyai matlamat yang sama. Terdapat tiga konsep penting tentang struktur masyarakat. Konsep tersebut adalah masyarakat, budaya dan perpaduan di dalam masyarakat. Ciri-ciri utama bagi mengklasifikasikan sesuatu masyarakat adalah seperti berikut :
a)    hidup berkelompok
b)    mempunyai budaya
c)    sering mengalami perubahan
d)    saling berinteraksi sama ada dalaman dan dengan pihak luar
e)    mempunyai kepimpinan
f)     mempunyai aturan sosialnya (susun lapis, kelas, status dan kasta)
Struktur masyarakat di Malaysia boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Kelas sosial masyarakat tradisional boleh diklasifikasikan seperti berikut :
a)    Sultan                        -  kelas hierarki tinggi
b)    Kelas bangsawan        -  kaum keluarga di raja
c)    Kelas pembesar           -  pembesar negeri/daerah
d)    Rakyat biasa               - golongan diperintah

Bangsa merupakan suatu kelompok manusia yang dianggap memiliki identiti bersama, yang bersatu pada satu wilayah dan mempunyai ikatan dengan wilayah tersebut. Contohnya, Melayu, Cina dan India di Malaysia yang hidup bersama sejak dahulu dan telah membentuk identiti Malaysia yang ada kini. Bangsa juga merujuk kepada nilai sosial seperti bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, semangat kekitaan, dedikasi, persahabatan, perkongsian, kesabaran dan kegigihan yang boleh dipupuk dalam kalangan insan sosial.

Kepercayaan pula bermaksud akuan akan benarnya terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang menaruh kepercayaan akan berasa ‘pasti’ terhadap sesuatu perkara yang berkenaan. Nilai dan kepercayaan adalah saling berkaitan. Kepercayaan memberi hala tuju manusia tentang kehidupan. Nilai merupakan prinsip-prinsip yang menentukan apakah yang sesuai dan bermoral dalam sesebuah masyarakat. Perbezaan pengangan dan kepercayaan sebuah masyarakat menujudkan perbezaan prinsip dan nilai kehidupan.

Bahasa merupakan satu sistem komunikasi yang menggunakan bunyi atau simbol dengan pengertian yang berstruktur. Bahasa juga merupakan alat menyalurkan idea. Melalui bahasa, kita dapat membentuk identiti kelompok dan penyatuan dalam masyarakat.Bahasa juga bersifat dinamik kerana bersesuaian dengan kelompok masyarakat dan peredaran masa.

Adat resam adalah sesuatu cara hidup yang sering dilakukan dan diakui oleh masyarakat. Adat juga adalah piawai iaitu adapt atau kelaziman yang diharapkan daripada anggota masyarakat, turut mempunyai kesan (isbat) kepada pelaku sama ada positif atau negative. Contohnya di Malaysia, perbezaan adat resam orang melayu, india dan cina sangat berbeza kerana turut dipengaruhi oleh ajaran agama dan pantang larang nenek moyang masing-masing.

Perbezaan jantina turut mempengaruhi kepelbagaian budaya suatu masyarakat. Sungguhpun wujud persamaan antara lelaki dan perempuan, masih terdapat perbezaan ketara diantara mereka daripada sudut peranan dan kepentingan dalam keluarga.

6.0  contoh budaya yang tepat dan baik

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik dan tinggal bersama secara aman dan demokrasi. Komposisi rakyat Malaysia majority terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Di samping itu, terdapat juga etnik-etnik lain seperti orang asli, Punjabi, bumiputera Sabah dan bumiputera Sarawak. Keunikan masyarakat majmuk di Malaysia yang telah dikagumi oleh masyarakat dunia kerana mampu hidup aman dan damai walupun berbeza bangsa, agama, kepercayaan, adat resam dan pantang larang.

Rakyat Malaysia diberi kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan dan adat resam masing-masing seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara Malaysia. Sikap toleransi dan menghormati agama orang lain menjadikan negara ini hidup dalam harmoni. Inilah menjadi kebanggaan rakyat dalam membina tamadun yang maju dan berwawasan. Walaupun berbeza agama dan bangsa, rakyat Malaysia saling bantu-membantu dan bekerjasama apabila menghadapi masalah dan bergotong-royong dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Di samping itu, setiap bangsa dan kaum bebas bertutur mengikut bahasa masing-masing tetapi bahasa Melayu menjadikan bahasa rasmi negara. Bahasa melayu dijadikan bahasa penghubung di antara rakyat bagi menjalin kemesraan dan komunikasi yang berkesan di antara rakyat. Selain itu,negara Malaysia mengamalkan nilai kebebasan bersuara untuk kesejahteraan bersama.

7.0  kesimpulan

Oleh yang demikian dapatlah disimpulkan bahawa budaya (culture) adalah merupakan cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Tamadun pula diekspretasikan dari sudut kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan suatu kelompok masyarakat dan bangsa. Tamadun tidak dilihat hanya pada pembangunan material sahaja tetapi juga dinilai daripada pembangunan sosiobudaya seperti bahasa, agama, nilai dan adat resam. Budaya sangat penting dalam membina ketamadunan umat ssejagat yang unggul dan produktif. Kepelbagaian budaya seperti agama dan kepercayaan, tradisi dan adat resam serta bahasa tidak menghalang keharmonian dan perpaduan sebuah masyarakat seperti Malaysia, malah meningkatkan lagi perasaan bangga dan cinta akan negara, memupuk semangat kekitaan dan membantu dalam membina tamadun yang hebat dan maju.